Kepentingan Pengangkutan Moden
Pada masa ini, sistem pengangkutan moden amat penting bagi tujuan perhubungan. Antara contoh pengangkutan moden yang terdapat di Malaysia ialah monorel, komuter, kapal terbang serta kapal laut. Kemajuan pengangkutan moden di Malaysia membawa pelbagai kepentingan kepada negara.
Pengangkutan moden menjadikan perjalanan yang dilakukan lebih mudah dan cepat. Hal ini kerana pengangkutan moden tidak menggunakan sistem jalan raya biasa. Melalui pengangkutan moden seperti monorel dan komuter, masyarakat tidak lagi menghadapi masalah kesesakan jalan raya. Sebagai contoh, pengguna dari Seremban dapat sampai dengan lebih cepat ke Kuala Lumpur dengan menggunakan perkhidmatan komuter. Jelas bahawa pengangkutan moden dapat menjimatkan masa sesuatu perjalanan.
Selain itu, pengangkutan moden amat penting untuk kita pergi ke sesuatu tempat yang jauh. Hal ini kerana pengangkutan moden dengan teknologi canggih berupaya bergerak dengan pantas. Di samping itu, masyarakat juga dapat merancang perjalanan dengan mengikut jadual. Sebagai contoh, mereka yang menunaikan fardhu haji di Mekah mengambil masa yang singkat untuk pergi ke sana. Justeru, masyarakat dapat mengurangkan masalah yang dihadapi sebelum terciptanya pengangkutan moden.
Di samping itu, pengangkutan moden dapat memajukan ekonomi negara. Hal ini kerana dengan menggunakan pengangkutan moden kuantiti barangan yang dapat dibawa lebih banyak. Kos pengangkutan juga dapat dijimatkan kerana barangan tidak perlu diangkut berulang kali. Sebagai contoh, dengan menggunakan kapal laut kita dapat membawa muatan dengan jumlah yang besar. Jelas bahawa pengangkutan moden dapat memudahkan proses perniagaan sama ada di dalam atau di luar negara.
Seterusnya, pengangkutan moden dapat memajukan industri sektor pelancongan di negara kita. Para pelancong boleh menggunakan sistem pengangkutan moden ini untuk pergi ke banyak destinasi pelancongan. Mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah pengangkutan untuk pergi ke kawasan pulau dan tanah tinggi. Sebagai contoh, para pelancong boleh menggunakan perkhidmatan feri atau kapal terbang untuk pergi ke Pulau Langkawi. Terbukti bahawa pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi di Malaysia.
Kesimpulannya, kemajuan pengangkutan moden memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negara. Rakyat Malaysia harus memberikan sokongan kepada kerajaan dan pihak swasta dalam usaha memajukan pengangkutan moden agar negara dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara maju. Tindakan ini penting bagi membantu negara mencapai tahap negara maju pada tahun 2020.
没有评论:
发表评论