Pada masa ini industri desa semakin berkembang di negara kita. Pelbagai produk industri desa telah dipasarkan untuk keperluan masyarakat. Untuk memajukan lagi industri desa, pelbagai usaha perlu dijalankan dengan kerjasama semua pihak.
Usaha pertama yang boleh dilakukan ialah kerajaan memberikan bantuan dan galakan kepada mereka yang berminat. Bantuan dan galakan yang berterusan penting terutama kepada pengusaha yang baru sahaja menjalankan sesuatu industri desa. Kerajaan boleh memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat secara berterusan.
Sebagai contoh, kerajaan perlu banyak mengadakan kursus yang berkaitan industri desa seperti batik, kraftangan dan makanan tradisional. Peranan kerajaan penting agar industri desa terus berkembang maju di negara kita.
Selain itu, penggunaan alat-alat teknologi moden penting untuk meningkatkan keluaran dan kualiti industri desa. Penghasilan produk industri desa yang semakin meningkat dan berkualiti penting untuk mewujudkan daya saing. Pihak yang terlibat perlu mengadakan kursus tentang cara menggunakan peralatan mesin dan jentera. Sebagai contoh, penggunaan mesin penting untuk menghasilkan produk industri desa yang berkaitan dengan pembuatan makanan tradisional. Jelas bahawa penggunaan alat teknologi moden, akan menarik lebih ramai lagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam industri desa.
Untuk memajukan lagi industri desa kerajaan boleh memperkenalkan konsep”Satu Daerah Satu Produk”. Melalui cara ini, setiap kampung perlu menghasilkan sesuatu produk dan memasarkan sendiri barangan mereka. Dalam hal ini, mereka perlu diberikan bimbingan,latihan dan cara-cara untuk memulakan sesuatu industri desa. Sebagai contoh, kerajaan negeri Melaka telah memperkenalkan rancangan ”Satu Daerah, Satu Industri”. Sesungguhnya, setiap kerajaan negeri boleh mencontohi usaha tersebut untuk mengembangkan ekonomi masyarakat khususnya di luar bandar.
Seterusnya, kerjasama semua pihak penting untuk memasarkan keluaran industri desa. Keluaran industri desa yang unik serta berkualiti mampu menarik perhatian masyarakat luar. Pameran-pameran perlu diadakan dengan lebih kerap untuk memperkenalkan lagi keluaran industri desa kepada masyarakat. Sebagai contoh, pihak swasta seperti TV3 boleh membantu memperkenalkan industri desa melalui program Jom Heboh.
Kesimpulannya, masyarakat yang menjalankan industri desa perlulah merebut peluang sepenuhnya yang disediakan oleh kerajaan. Mereka perlulah meningkatkan ilmu serta kemahiran bagi menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Kita amat berharap agar industri desa yang dijalankan di negara kita terus seiring dengan kemajuan Negara.
没有评论:
发表评论