Seseorang yang berjaya dalam hidup biasanya merupakan orang yang mematuhi peraturan, menghargai masa dan mempunyai matlamat hidup. Dalam hal ini ,bagi seorang pelajar,disiplin merupakan teras kejayaan akademik. Mengapakah disiplin begitu penting dalam kehidupan seorang pelajar? Marilah kita lihat hubungan erat antara disiplin dengan kejayaan akademik seseorang itu.
Pelajar yang berdisiplin dapat menguruskan masa dengan sempurna . Mereka tidak membuang masa dengan sia-sia kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila pelajar belajar mengikut masa yang ditetapkan dan mengikut jadual waktu yang disediakan,sudah tentu dia dapat belajar dengan tenang dan dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan mudah. Akhirnya,pelajar yang berdisiplin ini akan mendapat kejayaan dalam akademik. Di sini, jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan teras kejayaan akademik.
Selain itu, pelajar yang berdisiplin juga dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara-perkara negatif seperti peras ugut, buli, vandalisme dan penyalahgunaan dadah. Mereka juga tidak akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak bersekolah. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya dalam peperiksaan. Dalam hal ini, disiplin merupakan benteng yang ampuh yang mampu mengekang remaja atau pelajar terjebak dalam kemelut sosial yang kian meruncing kini.
Di samping itu, pelajar yang berdisiplin biasanya mempunyai sahsiah yang baik. Mereka akan menghormati ibu bapa,guru,dan orang-orang yang lebih tua. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu mewujudkan insan yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek. Hanya pelajar yang berdisiplin dan memiliki akhlak yang mulia sahaja yang mampu mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik.
Pelajar yang berdisiplin mampu mencipta kecemerlangan dalam akademik. Hal ini demikian kerana pelajar yang menjalani kehidupan seharian dengan teratur dan sempurna mampu menjana fikiran mereka untuk menghasilkan inovasi baru menerusi kajian dan penemuan baru serta eksperimen. Komitmen serta beriltizamnya yang tinggi dalam kalangan remaja yang berdisiplin mampu mewujudkan kejayaan,bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam kerjaya mereka setelah mereka meninggalkan alam persekolahan nanti.
Berdasarkan perbincangan di atas tadi, jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan teras kejayaan akademik. Orang yang berdisiplin akan memperoleh kejayaan dalam hidup kerana dia mampu membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Oleh itu,marilah kita bersama-sama mewujudkan generasi yang berdisiplin agar mereka dapat merealisasikan impian negara.
没有评论:
发表评论