UPSR & SPM LEARNING CENTRE

Search

2014年5月6日星期二

Contoh Karangan Sukan

Kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan. Hal ini bermakna setiap murid harus melibatkan diri secara aktif dalam salah satu acara sukan yang paling diminati. Selepas diumumkan, dasar ini telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya ibu bapa. Pihak media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik saban hari mengetengahkan  perkara tersebut sebagai isu  utama. Peribahasa ada mengatakan “Jikalau tiada angin , masakan pokok bergoyang”. Dasar ini perlu diperkenalkan kerana negara kita ketinggalan dalam kebanyakan acara sukan bertaraf dunia. Jika negara kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain dalam bidang sukan, kita mestilah melakukan sesuatu. Dalam hal ini, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu membantu pihak kerajaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini. Terdapat pelbagai  usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagimenggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Satu daripada usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlu menjadi model atau jurulatih kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu berjinak-jinak dalam bidang sukan. Langkah yang paling awal ialah ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging atau beriadah. Selain dapat meningkatkan tahap kesihatan, ibu bapa dapat mendedahkan aktiviti sukan kepada anak-anak ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging di kawasan padang atau stadium yang berhampiran. Selepas itu, ibu bapa hendaklah bermain badminton atau bola sepak dengan anak-anak. Melalui aktiviti ini, bakat anak yang terpendam dapat digilap. Jika ibu bapa merupakan jaguh sukan sebelum ini, bakat tersebut kemungkinannya dimiliki oleh anak-anak merekabagai kuah tumpah ke nasi. Jika usaha ini diteruskan dari masa ke masa, anak-anak tersebut akan menjadi jaguh sukan pada suatu hari nanti setelah diasuh oleh ibu bapa mereka.

Selain itu, anak-anak amat memerlukan sokongan daripada ibu bapa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendorong anak-anak supaya meminati bidang sukan sejak kecil bak kata pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka mestilah menjadi pendorong kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah atau sebarang pertandingan sukan. Sebagai contohnya, apabila anak-anak tidak mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan, ibu bapa perlu memberikan dorongan dengan mengucapkan kata-kata bahawa sekali tewas tidak bermakna akan tewas buat selama-lamanya. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa di sebalik kekalahan sebenarnya kita memperoleh sesuatu yang lebih berharga, iaitu pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memotivasikan anak-anak supaya mereka rajin berusaha kerana usaha tangga kejayaan.Tegasnya, sokongan daripada ibu bapa sangat besar impaknya kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang gemilang.

Di samping itu, ibu bapa perlulah memberikan penghargaan dan galakan kepada anak-anak apabila mereka mencapai kejayaan. Semasa anak-anak mencapai kejayaan pada kali pertama dalam acara sukan yang disertai, ibu bapa mestilah memberikan penghargaan atau pujian kepada anak-anak. Apabila dipuji dan penghargaan diberikan kepada mereka, semangat untuk berlatih atau menceburi bidang tersebut dengan lebih giat akan meningkat. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membelikan anak-anak mereka peralatan sukan yang diminati seperti pakaian, kasut atau peralatan sukan lain sebagai hadiah. Usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini bukanlah memberikan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu agar mendapat habuan tetapi membuatkan anak-anak merasai bahawa dirinya dihargai. Melalui cara ini, mereka akan gembira dan menjadikan aktiviti sukan tersebut menyeronokkan. Menurut ahli psikologi, minat seseorang dalam sesuatu perkara akan meningkat jika diberi ganjaran atau penghargaan.

Bukan itu sahaja, anak-anak juga perlu didedahkan dengan bahan bacaan tentang pelbagai jenis sukan. Melalui bahan bacaan tersebut, anak-anak akan mengetahui acara sukan yang diceburi dengan lebih mendalam. Banyak ilmu yang akan diperoleh tentang acara sukan dari segi sejarah, tokoh yang berjaya, aspek kejurulatihan, pemakanan, teknik, strategi, dan sebagainya. Pujangga menyatakan, `Membaca Jambatan Ilmu’. Sebagai contohnya, murid perlu membaca pelbagai majalah yang berkaitan dengan acara sukan yang diminati seperti majalah sukan bola sepak, hoki, dan sebagainya. Usaha ini selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang memerlukan murid bukan sahaja mahir bermain malah memahami sesuatu permainan. Dalam hal ini, melalui Dasar 1Murid 1Sukan, murid-murid bukan sahaja memiliki kemahiran dalam sesuatu permainan, malah mereka mampu menjadi jurulatih atau pengadil walaupun tidak mempunyai bakat untuk bermain pada suatu hari nanti.

Sebagai kesimpulannya, ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk menceburi bidang sukan. Jika ibu bapa menyuruh anak-anak melibatkan diri dalam bidang sukan, sedangkan mereka tidak melakukannya bersama-sama, usaha ini diibaratkanketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tindakan ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak ibarat bapa borek anak rintik jika mereka turut sama aktif dalam bidang sukan. Untuk merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan, ibu bapa merupakan insanyang menjadi pendorong selain guru di sekolah. Ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan guru-guru sahaja untuk membimbing anak-anak mereka bagi merealisasikan dasar ini. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi melahirkan individu yang seimbang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Jika ibu bapa berjaya memainkan peranannya, sukan di negara kita akan terus gemilang selaras dengan slogan `Majulah Sukan untuk Negara’

2 条评论: