UPSR & SPM LEARNING CENTRE

Search

2014年5月6日星期二

PERANAN KELUARGA DALAM MENGATASI MASALAH PERLUMBAAN HARAM DALAM KALANGAN REMAJA/MAT REMPIT

Mat Rempit merupakan mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram di jalan-jalan raya dengan menunggang motosikal. Kebanyakan mereka berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sesetengah daripada mereka masih berada di alam persekolahan. Mereka gemar menunggang motosikal secara sendirian dan ada juga yang  melakukannya secara berkumpulan. Terdapat sesetengah daripada mereka yang tidak memiliki lesen memandu. Mereka menjadikan jalan raya sebagai gelanggang tempat berlumba motosikal. Sekiranya tidak ditangani, masalah ini sangat membahayakan pengguna-pengguna jalan raya. Oleh itu, keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram ini.
           
Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan memberikan didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana semua agama seperti Islam, Buddha, Keristian dan Hindu meminta penganutnya sentiasa melakukan kebaikan. Menurut ajaran Islam, setiap perbuatan yang baik itu akan dibalas dengan kebaikan, iaitu diberikan pahala, manakala perbuatan yang jahat pula akan dibalas dengan kejahatan juga, iaitu dosa. Dengan ajaran yang demikian, anak-anak remaja tidak akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengajak mereka melibatkan diri dengan perlumbaan haram. Natijahnya, ajaran agama merupakan senjata yang paling ampuh untuk mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.
           
Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Antara lain, ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil tahu tentang rakan anak-anak dan tempat mereka berada. Anak-anak tidak seharusnya diberikan keizinan untuk keluar rumah tanpa sebarang tujuan. Hal ini demikian kerana mereka selalu berlumba haram pada malam minggu atau cuti umum. Jika ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah sesuka hati, mereka boleh terlibat dengan perlumbaan haram. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui tempat anak-anak mereka pergi dan kawan-kawan mereka. Lebih jauh lagi, ibu bapa juga hendaklah mengenali rakan anak-anak mereka.
           
Di samping itu, ibu bapa juga tidak sewajarnya membenarkan anak-anak di bawah umur menunggung motosikal. Demikian juga halnya dengan anak-anak yang tidak memiliki lesen memandu, mereka hendaklah dilarang sama sekali untuk menunggang motosikal. Perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ditahan atau ditangkap oleh pihak polis atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, mereka boleh didenda. Sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya, kejadian tersebut akan mendatangkan kesusahan kepada mereka, termasuk juga pihak ibu bapa. Masalah yang dialami oleh ibu bapa akan bertimpa-timpa, bagai sudah jatuh ditimpa tangga.
           
Setiap ahli keluarga hendaklah sayang-menyayangi antara satu sama lain. Perasaan  dan nilai kasih sayang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Perasaan tersebut boleh menyebabkan setiap ahli keluarga merasakan diri masing-masing amat dihargai. Perkara yang lebih penting lagi ialah kasih sayang tersebut dapat mengelakkan anak-anak remaja daripada terlibat dengan perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian, anak-anak akan berasa disayangi dan tidak dibenci oleh ahli keluarga masing-masing. Mereka akan berasa bahagia kerana keluarga memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, bertepatan dengan kata peribahasa bagai menatang minyak yang penuh.
           
Dari sudut yang lain pula, abang dan kakak mestilah membantu mengawasi tingkah laku adik-adik mereka. Abang dan kakak perlu menjadi mata dan telinga kepada ibu bapa. Jika ada perkara yang negatif berlaku pada adik-beradik, abang dan kakak hendaklah mengambil tahu dan menasihati mereka. Abang dan kakak juga tidak sewajarnya merahsiakan perkara yang negatif tersebut daripada pengetahuan ibu bapa. Dalam hal ini, mereka hendaklah berkongsi masalah dengan ibu bapa, termasuklah penglibatan adik-adik mereka dengan masalah perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian, masalah perlumbaan motosikal haram dalam kalangan remaja dapat diatasi.
           
Kesimpulannya, peranan keluarga sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan anak-anak muda. Anak-anak hendaklah mendengar nasihat ibu bapa supaya mereka tidak terlibat dengan perlumbaan haram. Orang yang berlumba haram, banyak yang cedera parah dan meninggal dunia. Oleh itu, kita hendaklah bertindak mengatasi masalah ini, seperti yang terungkap dalam peribahasa cegah sebelum parah.

没有评论:

发表评论