UPSR & SPM LEARNING CENTRE

Search

2010年7月19日星期一

Peranan ibu bapa memupuk minat anak-anak supaya gemar membaca.

Anak-anak dalam zaman ini tidak suka membaca. Mereka lebih suka menghabiskan masa lapang mereka dengan melepak di kompleks beli-belah atau menonton televisyen daripada membaca bahan bacaan yang berguna. Jika tidak membaca, mereka akan kekurangan ilmu pengetahuan atau tidak mengetahui perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak mereka.

Satu daripada peranan ibu bapa ialah ibu bapa hendaklah menyemaikan tabiat suka membaca dalam kalangan anak mereka. Tabiat ini harus ditanamkan sejak kecil lagi bak kata pepatah, "kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Dalam hal ini, ibu bapa perlu menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah mewujudkan perpustakaan mini di rumah untuk menggalakkan anak-anak membaca. Apabila anak selalu membaca, mereka akan menjadi seronok lalu menjadikan amalan membaca sebagai hobi kerana “alah bisa tegal biasa”.

Selain itu, ibu bapa sendiri juga harus menanamkan sikap suka membaca kepada diri sendiri sebagai teladan kepada anak-anak. Apabila melihat ibu bapa membaca, anak-anak juga akan terpengaruh untuk mengikut jejak langkah ibu bapa mereka yang suka membaca. Misalnya, ibu bapa yang tidak suka membaca dan hanya menggalakkan anak-anak mereka membaca dianggap bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul. Oleh yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan menjadikan amalan membaca sebagai hobi kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah sering membawa anak-anak ke perpustakaan atau ke kedai-kedai buku. Apabila mereka berada di perpustakaan atau di kedai buku, mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang diminati untuk dibeli atau dibaca. Melalui cara ini, ibu bapa dapat menyuburkan minat membaca dalam kalangan anak mereka.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak untuk membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku dan mereka tidaklah menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Kesimpulannya, ibu bapa harus sedar akan peri mustahaknya membaca kerana para pujangga sering mengingatkan pembaca bahawa membaca jambatan ilmu. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak seminggu atau dua minggu sekali ke kedai buku atau ke perpustakaan.

langkah-langkah meningkatkan semangat kejiranan

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis- majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan inginmembantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Kebaikan kegiatan kokurikulum.

Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurang satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya.

Salah satu kebaikan yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum ialah para pelajar dapat meningkatkan daya kepemimpinanDaya kepemimpinan ini dapat dipupuk apabila seseorang pelajar dilantik sebagai ketua dalam sesuatu kegiatan. Daya kepemimpinan ini juga amat berguna kepada para pelajar apabila sudah dewasa. Sebagai contohnya, pelajar yang pernah memimpin sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Oleh itu, daya kepemimpinan ini haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan kokurikulumKebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau permainan disebabkan faktor-faktor tertentu. Kegiatan sukan ini dapat membina stamina yang kuat serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan manusia. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan sihat, otak cerdas.

Seterusnya, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajarSemangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajarSesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan
pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara.

Kesimpulannya, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

Peranan Ibu Bapa dalam Mengurangkan Gejala Sosial

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. 

Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng. Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. 

Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin bahawa remaja akan dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak- anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladiSetiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan dari akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan remaja tidak akan menjangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan.

Disiplin Teras Kejayaan Akademik

Seseorang yang berjaya dalam hidup biasanya merupakan orang yang mematuhi peraturan, menghargai masa dan mempunyai matlamat hidup. Dalam hal ini ,bagi seorang pelajar,disiplin merupakan teras kejayaan akademik. Mengapakah disiplin begitu penting dalam kehidupan seorang pelajar? Marilah kita lihat hubungan erat antara disiplin dengan kejayaan akademik seseorang itu.

Pelajar yang berdisiplin dapat menguruskan masa dengan sempurna . Mereka tidak membuang masa dengan sia-sia kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila pelajar belajar mengikut masa yang ditetapkan dan mengikut jadual waktu yang disediakan,sudah tentu dia dapat belajar dengan tenang dan dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan mudah. Akhirnya,pelajar yang berdisiplin ini akan mendapat kejayaan dalam akademik. Di sini, jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan teras kejayaan akademik.

Selain itu, pelajar yang berdisiplin juga dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara-perkara negatif seperti peras ugut, buli, vandalisme dan penyalahgunaan dadah. Mereka juga tidak akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak bersekolah. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya dalam peperiksaan. Dalam hal ini, disiplin merupakan benteng yang ampuh yang mampu mengekang remaja atau pelajar terjebak dalam kemelut sosial yang kian meruncing kini.

Di samping itu, pelajar yang berdisiplin biasanya mempunyai sahsiah yang baik. Mereka akan menghormati ibu bapa,guru,dan orang-orang yang lebih tua. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu mewujudkan insan yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek. Hanya pelajar yang berdisiplin dan memiliki akhlak yang mulia sahaja yang mampu mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik.

Pelajar yang berdisiplin mampu mencipta kecemerlangan dalam akademik. Hal ini demikian kerana pelajar yang menjalani kehidupan seharian dengan teratur dan sempurna mampu menjana fikiran mereka untuk menghasilkan inovasi baru menerusi kajian dan penemuan baru serta eksperimen. Komitmen serta beriltizamnya yang tinggi dalam kalangan remaja yang berdisiplin mampu mewujudkan kejayaan,bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam kerjaya mereka setelah mereka meninggalkan alam persekolahan nanti.

Berdasarkan perbincangan di atas tadi, jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan teras kejayaan akademik. Orang yang berdisiplin akan memperoleh kejayaan dalam hidup kerana dia mampu membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Oleh itu,marilah kita bersama-sama mewujudkan generasi yang berdisiplin agar mereka dapat merealisasikan impian negara.

Peranan Remaja Untuk Menjayakan Wawasan Negara.

Remaja terdiri daripada golongan muda yang berusia 13 tahun hingga 18 tahun. Remaja memainkan peranan penting dalam memajukan negara dan golongan inilah yang mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Dalam hal ini, pelbagai pihak perlu berusaha untuk memastikan remaja kini dapat memainkan peranan dalam menjayakan wawasan negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020.

Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh. Hanya dengan pelajaran sahajalah,seseorang itu boleh mengubah nasib dirinya,keluarga,masyarakat dan juga negara. Tanpa ilmu pengetahuan,remaja tidak boleh mencipta rekaan-rekaan baru dan dengan ini kita masih bergantung kepada negara luar dari segi teknologi. Remaja sepatutnya modal insan cemerlang yang boleh mereka cipta sesuatu kerana remaja perlu menjadi penyumbang teknologi, bukannya pengguna teknologi semata-mata.

Selain itu, remaja perlu menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang terjebak dalam masalah sosial. Janganlah melibatkan diri dalam vandalisme,gengsterisme,peras ugut dan penyalahgunaan dadah. Kesemua gejala ini akan merosakkan diri remaja itu dan memalukan keluarga. Kerajaan pula terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyelesaikan masalah ini. Alangkah baiknya jika remaja menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti- aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan mengumpul setem. Lantaran itu,remaja yang berwawasan perlu menghargai masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas.

Di samping itu, remaja juga perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup dalam harmoni. Apabila remaja mengamalkan sikap yang terpuji dan tidak melanggar undang-undang negara,barulah segala wawasan negara dapat dijalankan dengan sempurna.

Remaja juga perlu menjayakan segala program yang dianjurkan oleh kerajaan. Remaja sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada adik-adik mereka dengan berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan kempen-kempen seperti Kempen Anti merokok,Kempen Cintailah Sungai kita dan Kempen Galakan Membaca. Remaja yang menjadi tonggak negara akan dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara.

Dalam usaha menjayakan wawasan negara, remaja boleh memberikan sumbangan tenaga dan idea yang berterusan agar aspirasi negara untuk menjadi negara maju akan terlaksana. Untuk mencapai hasrat itu,remaja yang berwawasan perlu banyak membaca bahan-bahan berbentuk pengetahuan dan berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri dari pelbagai aspek seperti pengetahuan ICT yang membolehkan mereka memperoleh pengetahuan tanpa batasan menerusi Internet. Mereka boleh bertukar-tukar idea dengan remaja dari negara lain dan seterusnya boleh menjana idea untuk menjayakan wawasan negara.

Konklusinya,remaja memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara. Remaja yang berkualiti,merupakan pemangkin kecemerlangan negara. Oleh itu,marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mewujudkan remaja yang benar-benar berwawasan,berdedikasi dan berketerampilan dan akhirnya negara kita akan maju setanding negara maju yang lain.

Usaha-usaha Menghargai Warga Tua

Warga tua merupakan golongan yang paling berjasa kepada negara. Mereka telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak.. Namun, pada hari ini warga tua sering diabaikan dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.

Keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan kita dan bapa pula mencari rezeki untuk membesarkan kita. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua dan tidak menghantar mereka ke rumah orang-orang tua.

Di sekolah,guru boleh menasihatkan pelajar agar menghormati warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka kerana syurga terletak di telapak kaki ibu.

Kerajaan juga perlu menghargai warga tua. Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua akan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.
Media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.

Pihak swasta perlu membantu warga tua. Mereka boleh mengutip derma untuk mengurangkan beban warga tua manakala kunjungan ke rumah orang-orang tua dapat mengeratkan hubungan .Warga tua akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan kita dan membesarkan kita.